7 Langkah Berkesan Menuju
Khusyuk Di Dalam Solat
Tanyakan pada diri kita, bagaimana fikiran, perasaan
dan rasa hati semasa mengerjakan solat?
Adakah fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada Allah?
Atau hati masih liar, fikiran masih merawang dan perasaan masih kacau semasa
mendirikan solat?
Bagaimana pula soal penghayatannya?
Adakah kita dapat merasai apa yang telah kita fahami
itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan dalam solat itu adakah kita lakukan
dengan sedar?
Atau hanya sekadar ucapan biasa yang tidak membawa
apa-apa makna dan rasa?
“Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang yang
khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun 23: 1-2]
.
Apakah itu khusyuk?
Solat yang khusyuk tercapai apabila
hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah
sepanjang waktu mengerjakan solat.
Semasa solat, seseorang itu berhubung secara langsung
dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang hamba berdoa terus
dihadapan-Nya.
Hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa
tertentu di dalam hati yang kemudian membentuk hati itu akur, taat dan patuh
kepada Allah.
Diriwayatkan apabila para sahabat Rasulullah SAW solat
ditengah padang pasir, burung-burung akan hinggap dibahu, malah ada diatas
kepala dan badan mereka, kerana menyangka mereka ialah pohon kayu. Begitulah,
diam dan pegunnya jasad mereka ketika solat.
Bagaimana pula dengan kita insan biasa untuk khusyuk
di dalam solat?
Saya pasti ramai diantara kita sangat teringin dan
tercari-cari formula untuk menjadi salah seorang hamba Allah yang khusyuk di
dalam solat.
InsyaaAllah, dalam artikel ini akan berkongsi formula
yang dengan izinNya, akan membantu kita untuk khusyuk di dalam solat.
.
Tujuh Langkah Menuju Khusyuk Dalam
Solat
1. Mencari Pengertian (Faham)
Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna
bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perbuatan dalam solat.
Apabila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah
al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimahnya perlu diketahui satu per satu.
Jadi, belajarlah bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk
mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat.
“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang
hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Namun memahami makna sahaja tidak memadai, kita perlu
melangkah ke tahap seterusnya.
.
2. Memusatkan Fikiran (Fokus)
Tahap kedua ialah pemusatan fikiran. Menghindarkan
gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring –
yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat.
Mungkin kita telah memahami makna bacaan, tetapi oleh
sebab tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama “orang mengigau”
dalam tidur.
Sekiranya seketika kita terfikir juga hal-hal lain, tapi
ingatan dan fikiran tetap terikat pada tujuan solat (mengingati Allah), keadaan
ini samalah seperti orang yang sedang memandu kereta.
Fikirannya tetap fokus kepada destinasi yang hendak
dituju walaupun sekali – sekala ternampak juga objek-objek dan pemandangan di
tepi-tepi jalan.
Semua itu tidak menggangu fokusnya.
Lain pula halnya jika dia “terlalai” dengan
pemandangan-pemandangan di tepi jalan sehingga dia tidak sedar bahawa sudah
terlajak jauh daripada destinasinya.
.
3. Membesarkan Allah (Rasa ‘Haibah’)
Perlu diingat, pemusatan fikiran bukan ditujukan
kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di sebalik bacaan itu.
Ertinya, tumpuan bukan hanya pada huruf dan ayat serta
sebutan, tetapi pada makna dan tafsirannya. Inilah yang dimaksudkan dengan
‘pengertian’.
Hanya orang yang kenal raja akan
bercakap-cakap dengan penuh penghormatan, rasa takut, malu dan rendah diri.
Sebaliknya, orang yang tidak kenal raja, akan
bercakap-cakap dengan baginda secara biasa-biasa sahaja.
Apabila orang yang kenal Allah mengucapkan kalimah
“Allahuakbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah
hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya,
alam semesta, akhirat dan segala makhluk.
Pada ketika itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni
dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi diluar solat.
Oleh itu pada peringkat permulaan, cubalah untuk
merasakan kita sedang berhadapan seorang raja yang sangat berkuasa dan kita
perlu fokus dihadapanNya.
4. Kagum dan Takut akan Keagungan Allah (Rasa Khauf)
Hasil daripada merasai kebesaran Allah, maka timbul
pula rasa takut dan kagum kepada-Nya. Rasa takut dan kagum kepada Allah ini
tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara-perkara lain.
Kita takut kepada harimau kerana keganasannya, tetapi
kita takut kepada Allah kerana kehebatan-Nya. Takut akan harimau, kita lari
menjauhinya, tetapi takut akan Allah kita datang menghampirinya.
Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan
kemurkaan Allah dan Neraka-Nya.
Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat dengan
perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud
(tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.
.
5. Rasa Mengharap Kepada Allah (Rasa Raja’)
Apa yang dimaksudkan dengan rasa mengharap?
Rasa mengharap ialah pengharapan
seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah.
Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa,
dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah.
Padahal dalam reality, Allah lebih suka mengampunkan
dosa berbanding menyeksa hamba-Nya yang berdosa.
Oleh sebab itu, ulama berpesan dalam keadaan biasa
seseorang hendaklah menyeimbangkan rasa takut dan harapnya umpama dua
sayap pada burung yang membolehkannya terbang dengan stabil dan selamat.
Jangan terlalu takut, nanti timbul sangka buruk kepada
Allah. Jangan terlalu harap, nanti terjadi sikap sambil lewa serta
“berangan-angan” akan keampunan Allah.
Rasa harap dalam solat ini adalah menerusi penghayatan
ketika bacaan al-Fatihah (mengharapkan jalan yang lurus), bacaan qunut
(mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain) dan bacaan ketika duduk
diantara dua sujud (mengharap keampunan, belas kasihan, ditinggikan darjat, dan
lain-lain)
Manakala melalui perbuatan duduk dalam tahiyat awal
dan akhir, sujud serta rukuk – semuanya melambangkan rasa pengharapan seorang
hamba yang sedang meminta-minta dan merayu-rayu.
.
6. Rasa Malu dan Hina Diri (Rasa Haya’) dalam solat
Rasa malu dan hina diri ialah kemuncak segala rasa
yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU ditimbulkan rasa berdosa kepada
Allah.
Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan
menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan
tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan reda
dengan takdir dan banyak “berhutang” kepada Allah.
Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka
yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah
(tempat sujud).
Manakala dubur yang sentiasa disorokkan dibawah,
ketika sujud telah dijongketkan ke atas sebagai cara meleburkan kesombongan dan
kebesaran diri!
7. Memakai Pakaian Yang Paling Selesa Dan Paling
Cantik Ketika Solat
Untuk kaedah yang terakhir ini,
tidak berkaitan dengan enam kaedah diatas. Nampak seperti remeh, namun ia juga
adalah salah satu langkah yang boleh dipraktikkan untuk mencapai khusyuk di
dalam solat.
Sebolehnya pilihlah pakaian yang paling selesa, suci
dan khas untuk solat.
Pilih pakaian yang diperbuat daripada material
yang paling baik, yang tidak membuatkan kita berpeluh apabila panas, tidak
longgar atau ketat sehingga mengganggu pergerakan solat.
Dan juga pilihlah yang paling cantik, sempurna dan
dikhaskan untuk solat. Kerana solat kita adalah untuk menghadap Allah, Raja
yang paling Agung dan Allah sangat sukakan kecantikkan.
Innallah
jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
Buat para Muslimah, boleh mencuba koleksi telekung Siti Khadijah yang
sangat selesa digunakan untuk mengerjakan solat. Ianya
berbaloi untuk dicuba
.
Penutup: Solat yang Khusyuk Akan
Mendidik Hati Membina Rasa Bertuhan
Sebagai ingatan, ada bezanya antara solat yang khusyuk
dan solat yang sah. Solat yang khusyuk sudah semestinya sah. Tetapi solat
yang sah belum tentu khusyuk.
Solat yang khusyuk ialah solat yang berjaya menyentuh
dan mendidik hati, akal dan nafsu manusia. Ia juga akan membina rasa bertuhan.
Rasa bertuhan akan mendatangkan rasa gagah, berani dan
optimis dalam hidup.
Walau sekuat mana pun ujian hidup melanda,
segala-galanya dapat diatasi dengan baik kerana adanya “talian hayat” denga
Yang Maha Berkuasa.
Diri yang lemah akan menjadi gagah apabila hati
diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir oleh Allah. Rasa bertuhan juga menimbulkan
harapan dan impian yang sentiasa hidup dan menyala-nyala.
Inilah booster utama dalam usaha meraih kejayaan dalam
kehidupan =)
****
Artikel ini dirujuk dari buku Pesan Hati Untuk Hati,
Ust Pahrol Mohamad Juoi.


No comments:
Post a Comment